Monday 15 September 2014

Resipi Sayur Midin Goreng Belacan (Authentic Sarawak-Melanau-style)

Resipi Sayur Midin Goreng Belacan (Authentic Sarawak-Melanau Style)

Hidangan midin goreng belacan merupakan hidangan yang wajib dicuba jika anda berkunjung ke Sarawak. Setiap bandar ada versi tersendiri, dan sudah tentu saya akan berkongsi pula versi resipi turun-temurun masyarakat Melanau pula. Hidangan ini mudah diperoleh di restoren makanan laut yang terdapat di sekitar Mukah.

Midin terdapat dengan banyak di sekitar belukar berpaya di Mukah, namun untuk mendapatkannya, sama ada memetik sendiri pucuk midin ini,atapun membelinya waktu awal pagi di pasar tamu. Selepas jam 10, kebarangkalian untuk menemuinya di pasar tamu adalah tipis. Di pasar tamu Mukah, harga bagi seiikat midin (kira-kira secekak sebelah tangan) ialah RM2.00. Walaupun begitu, harganya jauh lebih murah jika mendapatkan sendiri di rumah pemetik midin pada petang atau malam sebelum mereka menghantarnya ke pasar tamu untuk dijual borong pada keesokan paginya.

Mari kita tengok apa rahsia resepi midin goreng belacan versi autentik Melanau Mukah, Sarawak.

Midin goreng belacan

Bahan-bahan:


1 ikat pucuk midin (boleh dipatahkan lagi ikut kepanjangan yang disukai)
3-5 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1/2 cawan ikan bilis dibuang perut
1/4 inci belacan
1 biji cili merah (atau berapa banyak ikut kesukaan)
1 sudu makan udang kering ditumbuk halus
1 senduk minyak masak
Garam secukup rasa
Sedikit air


Cara-cara:


  1. Tumbuk belacan terlebih dahulu sehingga halus dengan lesung batu.
  2. Masukkan ikan bilis, bawang putih dan bawang merah ke dalam lesung batu dan tumbuk kasar.
  3. Kemudian, tumiskan bahan-bahan tersebut sehingga naik bau.
  4. Masukkan midin dan kacau sebentat. Gunakan api besar. 
  5. Taburkan sesudu serbuk udang kering.
  6. Masukkan sedikit garam. Pastikan jangan terlebih kerana rasa belacan dan ikan bilis yang sudah sedia masin.
  7. Tambahkan sedikit air jika suka. Jika mahukan jenis goreng kering, tidak perlu ditambah air.
  8. Tutup api. Elakkan menggoreng terlalu lama bagi mengekalkan kerangupan dan kesegaran midin.
  9. Sedia untuk dihidangkan.

Selamat mencuba!

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Midin mengandungi kandungan beta-carotene, sejenis carotenoid yang bertukar kepada vitamin A di dalam tubuh kita mengikut keperluan tubuh. Baca lanjut tentang carotenoid dan khasiatnya kepada kesihatan dalam [Apakah Carotenoid? Ketahui Kebaikan Carotenoid kepada Kesihatan].

Rujukan:


No comments:

Post a Comment