Cerita Pengamal Suplemen dan Pemakanan Secara Sihat: Anda Golongan yang Mana Satu? - (Part 1)
Selama saya melibatkan diri dengan suplemen dan kini menjalankan perniagaan Shaklee yang menjual suplemen dan vitamin serta produk pembersihan mesra alam, saya memerhatikan diri sendiri, orang lain dengan cara pemakanan masing-masing, secara umumnya. Melalui pemerhatian tanpa kajian bersifat saintifik dan ilmiah yang rasmi apatah lagi well-designed, saya membina pendapat sendiri tentang amalan pengambilan suplemen secara sosial dan pemakanan sihat. Ini benar-benar pendapat peribadi sahaja, sekadar kenyataan tidak rasmi yang dimuatkan dalam 'artikel suka-suka' saya ini.
Photo: healthxwellness.com |
Perubahan taraf pendidikan dan ekonomi serta teknologi komunikasi dan maklumat kini menyaksikan kesedaran terhadap penjagaan kesihatan di kalangan penduduk Malaysia. Ini mendorong kepada perubahan sosial sejajar dengan meningkatnya kesedaran dalam menjaga dan memelihara kesihatan.
Jika dulu pokok utama perbelanjaan keluarga tidak menyenaraikan suplemen sebagai keperluan bulanan (simpanan lebih kepada untuk masa-masa kecemasan seperti jatuh sakit), kini kebanyakan kita mulai sedar, kos perubatan semakin meningkat seiring dengan meningkatnya kos sara hidup (namun berkadaran songsang dengan kenaikan gaji yang bergerak dengan ciputnya, kecuali sekali-sekala BR1M dan bonus muncul "menyelamatkan" situasi terdesak - itupun jika pandai memanfaatkannya). Corak pembelian kini banyak mengambil kira suplemen vitamin untuk kesihatan, makanan sunnah, jamu dan apa jua produk kesihatan, yang timbul atas kesedaran perlunya mencegah penyakit dari awal, selain fenomena penjagaan kecantikan dalaman yang semakin mendapat tempat (lihat sahaja toko jamu dan produk kecantikan dan kesihatan yang tumbuh umpama cendawan selepas hujan dan saling bersaing untuk mendapat tempat di hati pengguna).
Kini penyakit kanser seolah-olah epidemik, di mana-mana sahaja kita mendengar ahli keluarga, saudara, sahabat, kenalan dan sesiapa sahaja, sama ada sedang berjuang menentang kanser, atau seorang cancer-survivor, atau meninggal dunia akibat kanser. Apakah punca semua ini? Adakah corak pemakanan kita yang serba dimodenkan dan diproses, atau pencemaran alam, atau apa jua sebab; menyumbang kepada epidemik ini?
Maka muncullah pencinta kesihatan atau istilah di Australia yang dikenali sebagai wellness warrior. Selain itu, muncul juga pengamal suplemen dan/atau pengamal makanan sihat semula jadi. Malah muncul juga apa yang saya gelar supplement abuser (istilah rekaan saya sendiri, belum meneliti lagi jika ada istilah ilmiah). Di Amerika Syarikat misal kata, sudah muncul istilah food politics untuk menggambarkan corak pemakanan kita dikawal oleh industri pemakanan. Maka, muncul juga apa yang saya gelar sebagai food rage (juga istilah rekaan, berdasarkan istilah game rage, suatu situasi gamer yang mencapai peringkat putus asa kerana level game yang sangat sukar).
Saya akan menerangkan istilah-istilah tersebut mengikut pemahaman sendiri dengan cara santai. Lagipun, ini ialah 'artikel suka-suka' saya, bukannya artikel yang bersifat ilmiah.
Wellness warrior
Photo: cflsystema.wordpress.com |
Banyak lagi corak lain yang boleh digambarkan, tetapi ini antara yang paling menonjol. Golongan ini mungkin ya dan mungkin tidak terlibat dalam amalan pengambilan suplemen, kerana golongan wellness warrior juga boleh dibahagikan kepada 2 iaitu golongan yang menolak suplemen atau anti-suplemen dan golongan yang tidak menolak suplemen.
Anti-suplemen wellness warrior
Bagaimana golongan menolak suplemen boleh muncul, sedangkan dengan kesedaran kesihatan, secara logiknya, golongan wellness warrior berkemungkinan besar juga pengamal suplemen? Saya berpendapat, golongan ini yakin dengan kemampuan untuk mencapai cadangan atau saranan hidangan harian dalam mencapai pemakanan sihat dan seimbang dan tidak memerlukan sebarang pemakanan tambahan. Saya tidak menghakimi mereka, malah kagum kerana pilihan terbaik sudah tentu sekali ialah pemakanan semula jadi yang cukup untuk memenuhi keperluan harian, tanpa perlu suplemen, sesuatu perkara yang amat sukar untuk dilakukan pada zaman sekarang, tetapi sesuatu yang tidak mustahil. Malah pada tahap tertinggi, mereka mengamalkan pemakanan organik sepenuhnya, tidak mengambil makanan terproses, memasak sendiri makanan, tidak bergantung kepada ubat-ubatan dan banyak bergantung kepada home remedies untuk common ailments atau sakit yang ringan-ringan. Mereka adalah sumber terbaik untuk bertanya resepi home remedies untuk merawat batuk dan selsema tanpa ubat, malah cara menghasilkan pencuci baju organik yang mesra alam. Golongan ini juga cenderung untuk terlibat dalam gerakan anti-vaksin yang kini membinmbangkan pakar perubatan awam, bukan sahaja di Malaysia malah gerakan ini bermula di luar negara. Golongan ini juga boleh terbahagi kepada yang anti-suplemen tahap hardcore atau 'ok-je-dengan-suplemen-tapi-saya-tak-amal'.Kemunculan golongan anti-suplemen yang menjadi wellness warrior tahap anti-suplemen hingga ke sum sum tulang biasanya pernah mengamalkan vitamin dan suplemen. Walau bagaiamanapun, atas sebab-sebab tertentu, mereka hilang kepercayaan kepada vitamin dan suplemen. Namun, kebanyakan daripada mereka datangnya daripada golongan supplement abuser atau penyalah guna suplemen (jika tidak kenal suplemen, masakan dapat benci suplemen. Analogi mudah, seperti membenci bekas kekasih, jika tidak pernah bercinta dan rasa dikhianati, masakan membenci orang tanpa sebab). Ya, mereka mempunyai kesedaran kesihatan tetapi tidak cukup ilmu untuk menampung kesedaran tersebut. Setelah menjadi mangsa kepada amalan penyalahgunaan vitamin dan suplemen, kekurangan ilmu tentang pemakanan dan suplemen menyebabkan golongan ini menyalahkan vitamin dan suplemen yang diambil dan menjadi anti-suplemen sehingga ke teras tulang.
[bersambung ke Part 2]
No comments:
Post a Comment