Monday 27 October 2014

Resepi Sihat: Telur Kukus (Chinese Steamed Egg)

Resepi Sihat: Telur Kukus (Chinese Steamed Egg)


Resepi telur kukus ini merupakan antara resepi masakan Cina yang tipikal. Resepi asas telur kukus boleh dipelbagaikan variasinya dengan menambah daging cincang, ayam kisar, udang cincang, sayur-sayuran dan sebagainya, ataupun boleh disediakan dengan ringkas menggunakan ramuan asas dan utamanya iaitu telur. Resepi ini sangat sihat kerana penyediaannya yang menggunakan tanpa minyak atau minyak menggoreng yang minimal, kaya dengan protein dan vitamin B serta rendah lemak, selain sangat sesuai bagi yang ingin berdiet.

Terdapat banyak telur ayam kampung di rumah mak saya, sehingga saya kehabisan idea hendak menyediakan hidangan telur. Tiba-tiba saya teringat resepi turun temurun mendiang datuk sebelah mak saya yang berketurunan Cina.

Chinese Steamed Egg

Bahan-bahan:


(Bahan asas):
3 biji telur (saya menggunakan telur ayam kampung yang organik dan kaya dengan asid lemak omega-3 original tanpa suntikan :-D)
2 ulas bawang putih, dicincang
150 ml air
Garam secukup rasa
Sedikit serbuk stok ayam
2 sudu makan kicap soya pekat / 4 sudu makan kicap soya cair
1 sudu teh minyak bijan (sesame oil)

(Bahan tambahan - tidak ada pun tidak mengapa):
1/2 cawan udang cincang yang telah diperasakan dengan sedikit garam (ini pilihan bahan tambahan, boleh juga digantikan dengan daging ayam, daging lembu, dan sebagainya ikut kesukaan)


Cara-cara:


  1. Pecahkan telur ke dalam mangkuk. Sementara itu, sediakan pengukus dan air untuk kukusan (saya menggunakan kuali berisi air yang diletakkan para besi berkaki untuk meletakkan mangkuk telur, boleh juga guna periuk kukus).
  2. Masukkan udang cincang yang telah diperasakan dengan sedikit garam.
  3. Pukul campuran telur hingga rata.
  4. Masukkan 150ml air dan pukul lagi. Tambahkan garam secukup rasa dan sedikit serbuk stok ayam.
  5. Letakkan mangkuk berisi campuran telur tadi ke dalam pengukus. Tutup sebentar dengan tudung pengukus kira-kira setengah minit.
  6. Buka penutup dan kacau campuran telur dengan garpu atau chopsticks. Ini bagi mendapatkan telur kukus yang lembut dan rata, tidak berbentuk seperti gunung berapi.
  7. Tutup semula dan ulang proses tutup-buka-kacau-tutup berkali-kali sehingga telur mula mengeras. 
  8. Apabila telur mula mengeras, tutup dan biar pada api sederhana besar, sehingga masak.
  9. Sementara itu, goreng sedikit bawang putih yang telah dicincang. Anda juga boleh menambah hirisan daun bawang, daun kucai atau sayur-sayuran lain malah sedikit daging ayam atau daging lembu kisar.
  10. Buka penutup pengukus, dan tuangkan bahan goreng tumis ke atas telur kukus yang telah keras. Tutup api.
  11. Tuangkan kicap soya dan sedikit minyak bijan.
  12. Sedia untuk dihidangkan.

Selamat mencuba!








Tips Tingkatkan Kesuburan untuk Lelaki dan Wanita

No comments:

Post a Comment