Refleksi: Oktober Bulan Kesedaran Kanser Payudara?
Tahukah anda, bulan Oktober merupakan Bulan Kesedaran Kanser Payudara?
Jika tidak silap saya, saya pernah terbaca atau menonton wawancara tentang respon masyarakat berkenaan kanser payudara dan kesedaran awam tentang kanser. Kebanyakan respon adalah mengejutkan, rata-rata mereka hanya menganggap kanser hanya menyerang bahagian tertentu tubuh yang biasa didengari. Ternyata kesedaran apa itu kanser dan insiden prevalensi kanser masih di tahap amat rendah.
Photo: nanny-stuff.blogpost.com |
Namun, apabila saya memikirkan kembali, pada pendapat peribadi saya, sememangnya tidak mengejutkan, kerana lumrah sikap majoriti masyarakat kita yang kurang peka dengan sesuatu isu kecuali jika perkara tersebut diviralkan, ditambah lagi pula dengan kekurangan kempen, maklumat dan promosi daripada pihak yang berkaitan.
Kenapa saya mengatakan sedemikian?
Pada mulanya saya ingin menulis artikel berkaitan Bulan Kesedaran Kanser Payudara bagi peringkat kebangsaan, malangnya apabila saya cuba meng'Google' perihal tersebut, ternyata agak sukar mendapatkan butiran maklumat melalui internet. Saya jangkakan akan mendapat jawapan yang muncul pada halaman pertama carian Google, tetapi yang muncul hanya artikel tahun-tahun lepas yang sudah lapuk, dan kebanyakannya bukan maklumat sahih daripada organisasi atau badan berkaitan.
Hasil carian halaman pertama Google dengan keyword "bulan kesedaran kanser payuadra" |
Hasil carian halaman pertama Google dengan keyword "penyebab kanser payudara" |
Hasil carian halaman pertama Google dengan keyword "breat cancer" |
Bagaimana orang akan tahu tentang Majlis Kanser Negara (MAKNA) jika perihal kanser itu sendiripun masih berada pada tahap yang rendah? Jika seseorang ingin mendapatkan maklumat awal yang mentah, tanpa mengetahui mana-mana badan kanser, awal-awal lagi carian pertama mereka di Google telah dipesongkan oleh laman-laman web yang entah ya, entah tidak bersumberkan maklumat yang sahih.
Maka, dengan itu, tidak hairanlah, kenapa respon kesedaran orang awam di Malaysia amat-amat rendah, sedangkan pada zaman sekarang, sumber maklumat utama hanya di hujung jari iaitu melalui internet, dan pihak yang berkaitan tidak melaksanakan kempen secara maya dengan agresif. Apa yang saya lihat, corak kempen dan promosi kesihatan hatta kempen kesedaran kanser masih menggunakan taktik lama iaitu poster, sedangkan pada zaman sekarang, masyarakat sudah jarang ingin melihat poster di dinding hospital, kantin dan tempat-tempat awam kerana kebanyakan kepala akan tunduk dengan mata mereka lebih tertumpu kepada telefon pintar di tangan.
Sikap kebanyakan orang kita juga tidak kurang "hebatnya". Tanya sahaja kepada mereka "fakta-fakta" yang viral dalam Facebook, pasti semuanya dapat dijawab dengan mudah semudah menekan butang 'share'. Maka, tidak hairanlah, apa yang muncul pada halaman pertama Google adalah perkara-perkara yang diharapkan oleh rakyat Malaysia iaitu berita hangat yang viral, berbanding fakta-fakta sahih daripada sumber yang sahih.
No comments:
Post a Comment