Friday, 3 October 2014

Resepi One-Dish: Oyakodon (sake-free oyako donburi)

Resepi One-Dish: Oyakodon Asas (sake-free basic oyako donburi)


Hidangan oyakodon atau oyako donburi ini merupakan suatu hidangan tradisional Jepun. Ianya satu hidangan yang sihat kerana tidak menggunakan minyak selain tidak menggunakan garam. Oyakodon versi ini merupakan versi asas dan terpulang kepada kreativiti kita untuk mempelbagaikan rasa mengikut citarasa masing-masing. Biasanya oyakodon menggunakan sake atau sejenis arak Jepun, akan tetapi versi ini tidak menggunakan bahan tersebut.

Oyakodon bermaksud "hidangan ibu dan anak". Ayam mewakili "ibu" manakala telur ayam mewakili "anak" dan dikumpul dalam satu "hidangan ibu dan anak - oyako donburi!"

Anak sulung saya, Acha merupakan peminat terbesar oyakodon ini. Terima kasih kepada rakan sekolah saya dahulu, Angela Goh Chin Yien kerana berkongsi resepi versi asas tanpa sake ini selain daripada perkongsian tentang asal usul nama hidangan yang unik - oyako donburi!

oyakodon
Hidangkan oyakodon dengan meletakkan hidangan ini di atas nasi panas dan dinikmati sebagai satu hidangan

Bahan-bahan:


1 mangkuk daging ayam tanpa tulang, dipotong kecil-kecil sesuai untuk satu gigitan
1 sudu makan gula pasir
1 sudu makan kicap cair
1 sudu makan air
1 labu bawang besar, dihiris mengikut alur bawang
1 biji telur gred A, atau 2 biji telur ayam kampung (saya menggunakan telur ayam kampung)

Cara-cara:


  1. Campurkan gula, kicap cair dan air dalam periuk (saya gemar menggunakan periuk seramik untuk hidangan ini). 
  2. Letakkan hirisan bawang besar. Panaskan sebentar pada api sederhana.
  3. Setelah panas sedikit, susun daging ayam di atas hirisan bawang. Tutup periuk dan biar sehingga ayam masak.
  4. Pukul telur sedikit hancur (tidak perlu sehingga kembang). Tuang ke atas ayam. Tutup periuk dan biar selama 5 minit sehingga telur masak dengan haba yang ada.
  5. Untuk menghidang, ambil sesenduk hidangan dan letak di atas nasi yang baru dimasak dan biarkan kuah oyakodon meresap ke dalam nasi.
  6. Sedia untuk dinikmati sebagai satu hidangan lengkap. 
Antara pilihan variasi, anda boleh taburkan hirisan lobak merah, hirisan daun bawang, taburkan serbuk lada sulah atau lada hitam, kobis bunga, jeruk lobak putih dan sebagainya menigkut citarasa.

Anak-anak pasti menggemarinya kerana rasa ayam dan kuah yang manis dan masin bersatu selain rasa bawang yang telah menyerap kuah manis oyakodon yang sedap.

Selamat mencuba!

No comments:

Post a Comment