Friday, 31 October 2014

Resepi Side Dish: Sambal Tempoyak Goreng dengan Ikan Bilis

Resepi Side Dish: Sambal Tempoyak Goreng dengan Ikan Bilis


Pertama kali saya menikmati sambal tempoyak ini adalah semasa masih menuntut di universiti, teman serumah saya yang berbangsa Iban menyediakan hidangan ini. Memang sangat membuka selera terutama bagi saya yang sememangnya penggemar durian. Ketika itu baru pertama kali saya mencuba tempoyak (tempoyak bukan ramuan makanan yang biasa di kalangan orang Melanau). Hanya setelah saya berkahwin dan hidup bergaul dengan masyarakat Melayu, baharulah saya benar-benar mengenali dan menikmati tempoyak dalam pelbagai cara dan masakan, malah belajar membuat sendiri tempoyak.

Sambal ini bukan sahaja menjadi kegemaran saya malah En. B dan mak. Mak saya juga mempelajari resepi sambal goreng tempoyak dan ikan bilis ini daripada temannya yang berbangsa Iban. Bagi masakan ini, garam tidak diperlukan kerana tempoyak yang sudah sedia masin yang diisi garam ketika penyediaannya.

Hidangan ini sesuai dijadikan side dish atau untuk membuka selera. Lebih enak jika digandingkan bersama ikan kering yang digoreng atau bakar.

Tempoyak merupakan isi durian yang telah dipisahkan daripada bijinya, digaulkan dengan garam dan disimpan di dalam bekas bertutup. Ianya akan dikeluarkan untuk digunakan dalam masakan atau sekadar sebagai ramuan bahan cicah seperti budu tempoyak. Tempoyak kaya dengan vitamin C dan antioksidan.

sambal goreng tempoyak dan ikan bilis
Samabl Goreng Tempoyak dan Ikan Bilis

Bahan-bahan:

2 senduk tempoyak
1-2 genggam ikan bilis, dibuang perut
3 ulas bawang merah, dipotong empat
5 tangkai cili kering, dihiris
1 tangkai cili merah, dihiris
1 sudu teh gula pasir
4 sudu makan minyak masak untuk menumis

Cara-cara:

  1. Tumbuk ikan bilis bersama cili kering, cili merah, dan bawang merah sehingga sedikit lumat (jangan terlalu lumat).
  2. Panaskan minyak di dalam kuali dan tumiskan bahan tumbuk.
  3. Tumiskan sehingga naik bau dan ikan bilis sedikit garing.
  4. Taburkan 1 sudu teh gula pasir dan gaul rata. Perlahankan api sehingga sederhana kecil.
  5. Masukkan tempoyak dan gaul sehingga rata.
  6. Sedia untuk dihidangkan.


No comments:

Post a Comment