Tuesday 21 October 2014

Resepi Sihat: Sup Ayam dengan Shiitake

Resepi Sihat: Sup Ayam dan Shiitake (Chinese-style soup)


Sup ini sesuai dihidangkan untuk orang yang demam atau selepas sembuh dari demam. Ianya juga sesuai untuk menyegarkan badan, sekadar dihirup dan dimakan begitu sahaja. Gabungan khasiat sup ayam, yang membekalkan protein, wolfberry, kurma merah, dan longan untuk vitamin dan mineral yang menambah darah, serta cendawan shiitake yang terkenal dengan khasiat kepada kesihatan, menjadikannya suatu resepi sup sihat yang sesuai untuk menyegarkan tubuh semasa atau selepas sembuh dari demam atau penyakit.

Sup Ayam dengan Shiitake

Shiitake merupakan sejenis cendawan dalam kategori fungus yang berasal dari Jepun. Ianya terkenal dengan khasiat untuk kesihatan dan telah digunakan dalam perubatan tradisional Jepun dan China sejak berabad-abad lamanya.

Shiitake kaya dengna kuprum yang mampu mencegah penyakit berkaitan jantung koronari. Shiitake juga kaya dengan pantothenic acid, selenium, riboflavin, niacin, zinc dan mangan selain asid amino dan asid lemak perlu, linoleic acid. Shittake juga mempunyai ciri anti-radang, antiviral, antibakteria, antikulat dan anti-tumor yang didapati mampu melawan pertumbuhan sel kanser. Ini kerana, ia juga mengandungi ergothioniene, sejenis antioksidan yang melawan kesan radikal bebas oleh pengoksidaan.

Saya sendiri gemar mereneh sup ini untuk menyegarkan tubuh badan, kerana sup ini juga mampu menyingkir toksin dari badan dan menyebabkan badan banyak berpeluh, menjadikan badan terasa lebih ringan dan tidur malam yang lebih nyenyak.

Bahan-bahan seperti wolfberry, kurma merah kering, longan kering dan cendawan shiitake boleh didapati di kedai ubat tabib Cina.

Bahan-bahan:

500gm ayam, dipotong kecil
1 mangkuk kurma merah kering (dried red dates)
1/2 cawan wolfberry (kei chi)
1/2 cawan longan kering 
1 mangkuk cendawan shiitake kering, direndam terlebih dahulu, kemudian dihiris
1 inci halia, dihiris halus
5 ulas bawang putih, diketuk
1 paket herba rempahan sup (boleh didapati di supermarket, boleh pilih ikut suka)
Sedikit serbuk bawang putih
Sedikit serbuk lada hitam atau lada sulah
1 sudu teh serbuk stok ayam
Garam secukup rasa
Sedikit minyak untuk menumis
2 liter air

Cara-cara:

  1. Tumis bawang putih dan halia dengan sidkit minyak sehingga naik bau.
  2. Masukkan ayam dan air.
  3. Masukkan 1 paket herba rempahan sup. Reneh perlahan sehingga mendidih pada api sederhana kecil.
  4. Masukkan cendawan shiitake yang telah dihiris. Biar reneh sebentar.
  5. Masukkan sedikit serbuk bawang putih dan serbuk lada hitam serta serbuk stok ayam.
  6. Masukkan garam secukup rasa. Kacau rata.
  7. Masukkan kurma merah kering kira-kira 10-15 minit, kemudin diikuti dengan longan kering dan wolfberries dan biar kira-kira 5-10 minit. Kacau sebentar dan tutup api.
  8. Sedia untuk dihidangkan panas-panas.
Selamat mencuba!










Rujukan:

http://foodfacts.mercola.com/shiitake-mushrooms.html

No comments:

Post a Comment