Thursday 2 October 2014

Resepi Berpantang dan Tambah Susu Badan: Sup Ayam dengan Kurma Merah, Wolfberry dan Longan Kering

Resepi Berpantang dan Tambah Susu Badan: Sup Ayam dengan Kurma Merah, Wolfberry dan Longan Kering


Biarpun sudah lama meninggalkan tempoh berpantang selepas bersalin, sekali sekala ada masanya tekak saya terliur untuk menikmati sup ayam dengan herba-herba tradisional Cina ini. Tambahan pula bahan-bahan ini sentiasa ada dalam simpanan seperti mana herba atau rempah masakan lain seperti rempah lima sekawan. Biasanya saya menyediakan resepi ini semasa dalam tempoh berpantang selepas bersalin. Bahan-bahan yang digunakan boleh didapati di kedai ubat tabib Cina yang boleh didapati dengan mudah di bandar atau pekan. Jika tidak pasti apa yang mahu disebut kepada penjual atau tabib tersebut, hanya sebut tentang "herba yang biasanya wanita akan ambil atau guna dalam masakan atau dijadikan minuman ketika dalam tempoh berpantang" atau "herba untuk tambah darah". Selain daripada mempunyai ciri-ciri menambah susu badan, kurma merah (Chinese or Korean red dates, hong zao), wolfberry (kei chi) dan longan kering (dried longans, long yan rou) juga dipercayai dapat menambah darah (ciri yang penting untuk selepas bersalin) selain menyegarkan badan. Selain daripada dijadikan sup, bahan-bahan ini juga boleh dijadikan minuman teh bagi wanita berpantang untuk tujuan yang sama.


Bahan-bahan:

1/2 ekor ayam, dipotong kecil (bagi yang berpantang, sebaiknya gunakan ayam kampung, lagipun ayam kampung lebih sesuai untuk direneh lama untuk dijadikan sup)
1 mangkuk kecil kurma merah kering
1 cawan longan kering (yang telah dibuang kulit)
1-2 sudu makan herba kei chi atau wolfberry
5 ulas bawang putih, diketuk
1/4 inci halia dengan kulit, dihiris
Serbuk bawang putih
Serbuk lada hitam
Garam secukup rasa
Sedikit minyak untuk menumis
2 liter air

Cara-cara:


  1. Tumis bawang putih dan halia sehingga naik bau di dalam periuk.
  2. Masukkan ayam, serbuk bawang putih dan serbuk lada hitam. Kacau sebentar dan tutup periuk. Biarkan pada api perlahan.
  3. Setelah daging ayam berwarna putih, masukkan air dan reneh selama 30- 45 minit atau sehingga daging ayam empuk dengan api kecil.
  4. Masukkan kurma merah terlebih dahulu, kacau dan biar selama beberapa minit atau sehingga kurma kembang. Jangan biarkan terlalu kembang untuk mengelakkan kurma hancur (saya suka rasanya yang sedikit kenyal).
  5. Masukkan longan kering diikuti dengan kei chi.
  6. Masukkan garam secukup rasa.
  7. Biar seketika dan kemudian tutup api bagi mengelakkan kei chi hancur. Sedia untuk dihidangkan.
***Jika merancang untuk memanaskan sup untuk hidangan pada waktu lain, tidak perlu masukkan semua bahan herba sekali gus semasa mula-mula menyediakan. Hanya masukkan kurma merah, longan dan kei chi menurut urutan bagi mengekalkan struktur herba daripada hancur jika dipanaskan bersama. 
***Daging ayam juga boleh digantikan dengan kaki ayam yang kaya dengan kolagen.

Anda juga boleh memasukkan sedikit akar ginseng atau akar herba lain yang boleh didapati di kedai ubat Cina, ataupun cendawan shitake. Rasa manis kurma merah mengimbangkan rasa pahit ginseng yang halus.

Selamat mencuba!

Cara-cara Menambah Susu Badan





No comments:

Post a Comment