Tuesday 28 October 2014

Resepi Telur Ayam Kampung Masak Lemak Kuning

Resepi Telur Ayam Kampung Masak Lemak Kuning

Saya mempelajari masakan telur masak lemak daripada ibu mertua saya yang berasal dari Kelantan. Hidangan ini merupakan antara hidangan asli masyarakat Kelantan dan saya rasa bertuah mempelajari masakan ini langsung daripada ibu mertua yang berketurunan Melayu Kelantan. Walaupun begitu, beliau biasanya menggunakan telur itik, manakala untuk resepi ini, saya menggunakan telur ayam kampung atas faktor tidak mendapatkan sumber telur itik selain lambakan telur ayam kampung di rumah mak saya. Begitu juga sebahagian bahan-bahan tumis, saya juga melakukan sedikit pengubahsuaian mengikut citarasa saya (hakikatnya,saya sudah agak banyak kali mencuba resepi ini dengan pengubahsuaian sehingga terlupa resepi sebenar oleh ibu mertua. Insyaallah akan saya rujuk semula dengan beliau untuk resepi yang asli Kelantan  dan dikongsi semula).

Faktor telur itik digunakan adalah kerana telur itik agak pekat, maka bentuknya menjadi cantik apabila digunakan dalam masakan ini berbanding telur ayam biasa yang akan kehilangan bentuk, hancur atau meleper jika digunakan kerana faktor telur ayam biasa yang agak cair. Walau bagaimanapun, telur ayam kampung baka ayam Filipina yang dibela di rumah mak saya ini mempunyai struktur yang pekat selain telur kuning yang besar serta sedikit telur putih, menjadikan bentuknya "menjadi", sama seperti menggunakan telur itik.

Telur Ayam Kampung Masak Lemak Kuning

Bahan-bahan:


5-7 biji telur ayam kampung (atau telur itik)
3 batang serai, dititik
1 keping asam kandis, atau asam keping
Sedikit serbuk kunyit (juga boleh gunakan kunyit hidup yang ditumbuk halus)

Bahan tumis:
1/2 inci lengkuas, dihiris
1/2 inci halia, dihiris halus
3 ulas bawang putih, diketuk dan dihiris halus
3 ulas bawnag merah, dihiris
1 tangkai cili merah
(bahan-bahan tumis ini juga boleh ditumbuk)

Sedikit minyak untuk menumis
3 cawan air
400ml santan (atau 2 kotak kecil santan segera)
Garam secukup rasa
Gula secukup rasa, kira-kira 1 sudu teh 

Cara-cara:

  1. Tumiskan bahan tumis dan serai dititik serta lengkuas dalam minyak yang telah dipanaskan dalam periuk. Kacau sehingga naik bau.
  2. Masukkan air dan serbuk kunyit, biar sehingga mendidih pada api sederhana besar.
  3. Setelah mendidih, kecilkan sedikit api dan masukkan santan. Kacau dan biar sehingga mendidih.
  4. Pecahkan telur dan masukkan satu persatu telur. Jangan masukkan serentak atau dengan cepat bagi mengelakkan telur-telur saling melekat. Biar beberapa seketika barulah masukkan telur yang seterusnya sehingga habis.
  5. Masukkan garam dan gula secukup rasa. Kemudian masukkan asam kandis atau asam keping. Kacau sedikit.
  6. Biarkan air mendidih sekali lagi sebentar dengan api sederhana kecil. 
  7. Tutup api dan sedia untuk dihidangkan (ceduk telur perlahan-lahan bersama kuah satu persatu dengan menggunakan senduk).

Selamat mencuba!



No comments:

Post a Comment