Sentimental Sharing: Tentang Pantai (Part 1)
Kampung halaman saya terletak di tepi pantai. Menjadi kewajipan kami sekeluarga untuk mengunjungi pantai setiap kali En. B pulang bercuti, biarpun hanya sekadar membawa anak-anak berjalan-jalan di tepi gigi air, ataupun adakalanya mereka 'terlepas' ke dalam air dan bermandi manda. En. B sangat menyukai pantai, rasanya lebih daripada saya yang membesar di kampung yang mempunyai pantai sendiri. Saya bukan sekadar menyukai pantai, saya mencintai pantai.
Photo: En. B |
Pantai...sering membangkitkan nostalgia setiap kali kaki saya memijak pasir. Saya pasti, mana-mana manusia yang berdiri di atas pasir pantai, dengan air yang datangnya daripada ombak yang memukul pantai, pastinya terasa sedikit sesuatu yang terusik di dalam hatinya. Ini kerana saya percaya jiwa halus manusia mudah berkocak oleh alam, lebih-lebih lagi dengan pantai. Sebab itulah pantai mudah menjadi pilihan pasangan untuk berdating, kerana kehalusan jiwa yang mampu ditimbulkan oleh suasana pantai.
Pantai sering menjadi inspirasi seni, kerana ia membangkitkan sesuatu rasa yang mendalam dalam diri, menyentuh jiwa romantis. Tekanan hidup harian seolah-olah dibawa pergi oleh angin yang bertiup dan ombak yang datang dan pergi. Segala-galanya seperti ringan dan bebas. Pantai membuatkan kita mengimbas kembali rutin harian hidup kita, yang adakalanya boleh jadi sangat bermakna, dan tidak bermakna.
Secara peribadi, setiap kali saya menjejakkan kaki ke pantai, mana-mana pantai pun, seolah-olah pita hidup saya dimainkan kembali.
Berdiri di pantai kampung halaman snediri, saya terkenangkan zaman kecil saya yang membesar di kampung yang berdekatan pantai, dengan hidup saya mendengar bunyi ombak memukul pantai, makan hasil yang diperoleh dari pantai dan laut, bermain pasir pantai, mengejar ketam yang berlairan di gigi air, mengorek lokan atau spesis yang sewaktu dengannya, menarik keluar udang lipan yang masuk ke dalam lubang dalam pasir pantai dengan menggunakan dahan "sa'it", musim udang kecil atau bubuk yang melanda pantai, piknik seharian di tepi pantai dengan ahli keluarga, bapa dan ibu saudara yang ketika itu masih bujang dan remaja pula, dan macam-macam lagi kenangan menerpa diri.
Saya juga mengenang kembali 'sesi perkenalan' pertama keempat-empat anak saya kepada pantai kampung halaman mama mereka, seolah-olahnya memperkenalkan mereka kepada siapa dan asal mama mereka. Dan setiap kali juga, saya akan teringat dahulu (semasa zaman sebelum berkahwin), pernah saya menulis nama En. B di pantai yang sama untuk melepaskan rindu padanya. Tulisan itu hilang dibawa oleh ombak, namun hati saya lega kerana dapat 'meluahkan' kepada pantai. Ya, pantai seolah-olah kawan baik tempat saya mengadu.
Penghujung Ogos lepas, kami ke pantai Luak di Miri. Sekali lagi saya terkenangkan zaman remaja belasan tahun saya yang membesar di Miri ketika itu, lebih-lebih lagi Luak Esplanade itu terletak betul-betul di hadapan sekolah menengah saya dahulu, cuma dahulu belum ada lagi kemudahan esplanade disediakan, segala-galanya masih raw.
Apabila berada di pantai di tempat lain pula, contohnya sebelum ini di Teluk Ramunia, Johor atau Tanjung Sepat, Pahang, saya masih ingat lagi saya merenung jauh ke hujung horizon, yang mana saya tahu di seberang sana adanya tanah Borneo, tanah tempat saya dilahir dan dibesarkan. Saya mengenang kembali perjalanan hidup saya yang berhijrah ke seberang Laut China Selatan, berkahwin, bermastautin, berkeluarga dan sebagainya, sehingga membawa saya berdiri di gigi pantai timur semenanjung.
Begitu juga semasa saya berdiri di pantai Port Dickson, Negeri Sembilan, saya terkenangkan ketika itulah pertama kali saya bertemu dengan perairan selain Laut China Selatan, iaitu Selat Melaka. Sekian lama saya hanya bertemu Laut China Selatan, buat pertama kalinya saya saya bertemu Sleat Melaka. Perasaannya sungguh aneh, seolah-olahnya saya sedang berkenalan dengan kekasih baru setelah meninggalkan kekasih lama yang telah dikenali sekian lama.
Lebih-lebih lagi, Selat Melaka pada suatu ketika dahulu amat sibuk dengan sejarah gemilangnya, dan saya berdiri menghadap Selat Melaka seolah-olah melihat peniaga dan masyarakat pada zaman dahulu sedang sibuk berlayar melaluinya. Ya, mereka yang dulunya juga individu yang pernah hidup dengan nama, mempunyai harapan, cita-cita, dengan latar belakang yang berbeza, yang datang sejauh dari Eropah. Individu-individu yang makan, minum, tidur, bercinta, mempunyai anak, dan segalanya yang sama seperti kita sekarang, cuma dalam zaman yang berbeza.
Satu perkara yang aneh tetapi agak melucukan bagi diri saya, saya biasanya akan senandung kecil lagu yang mempunyai kaitan dalam minda saya dengan pantai tatkala berjalan menyusuri gigi pantai. Yang terbaru, saya bersenandung lagu soundtrack drama Korea iaitu Love Rain. Mungkin kerana dalam drama tersebut ada babak cinta pertama di pantai, dan pasanngan itu kembali ke pantai yang sama 30 tahun kemudian.
Pantai sememangnya membangkitkan jiwa. Pantai sering membuatkan saya kembali mengenangkan siapa saya, asal saya. Pantai juga membuatkan saya memutar kembali perjalanan hidup, juga mengenang perjalanan hidup orang lain, yang menyusuri pantai dengan kemungkinan memikirkan perkara yang sama seperti saya, atau mungkin tidak. Pantai juga membuatkan saya menyorot kembali tujuan saya hidup, memikirkan penciptanya, ke mana kita akan pergi selepas ini.
See, bercerita tentang pantai sahaja sudah membuatkan jiwa hopeless romantic saya terserlah hahaha...
P.S. Post yang sentimental untuk birthday sendiri.
Chukkae!
No comments:
Post a Comment