Resepi Pemanis Mulut: Butir Nako @ Butir Nangka
Pemanis mulut ini berasal dari Kelantan. Hidangan pemanis mulut ini dipanggil butir nangka (atau butir nako jika menurut dialek Kelantan) kerana rupanya seperti ulas buah nangka. Saya belajar membuat pemanis mulut ini daripada ipar duai saya yang berketurunan Melayu Kelantan. Saya dapati kuih muih dan hidangan pemanis mulut Kelantan rata-ratanya adalah manis-manis belaka, malah Kelantan dikaitkan dengan hidangan yang manis, sama seperti hidangan pedas dikaitkan dengan Negeri Sembilan.
Menurut mak, hidangan ini hampir menyerupai satu hidangan Cina cuma dengan nama yang berlainan (dikenali sebagai tang yuan)) dan rupa yang berlainan iaitu bulat, bukannya bujur seperti ulas nangka, selain tidak menggunakan santan untuk kuah, dan tang yuan mempunyai inti pes kacang.
Saya suka menyediakan hidangan ini kerana inilah masanya anak-anak akan menyertai saya di dapur. Mereka sangat seronok apabila dapat menggentel sendiri 'ulas nangka' biarpun saiznya menjadi pelbagai dengan rupa yang berlainan (bulat, panjang, lonjong dan sebagainya). Kesudahannya, masing-masing biasanya akan menyimpan sedikit doh untuk dijadikan doh mainan ala-ala Playdough.
Butir nako@nangka |
Bahan-bahan:
- 4 cawan tepung pulut
- 1 sudu makan tepung beras (jika suka, untuk rasa sedikit kenyal)
- 1 1/2 cawan air, atau secukupnya untuk menguli tepung
- Pewarna makanan mengikut kegemaran (saya lebih suka tanpa pewarna, tetapi menggunakan warna hijau, merah atau kuning untuk menarik perhatian anak-anak bagi lebih keseronokan)
- 1 ketul gula melaka, boleh digantikan dengan 1-2 senduk gula pasir (saya lebih suka guna 'nise kerek' iaitu gula manisan dari Kelantan namun sukar mendapatkannya di Sarawak)
- kira-kira 500ml santan kotak (lebih sedap jika gunakan santan daripada 1/2 biji kelapa)
- 3 cubit garam
- 3 helai daun pandan, dicarik panjang dan diikat (boleh gantikan dengan 1/4 inci halia, dihiris)
Persediaan bahan dan peralatan lain:
- Senduk penapis besi
- Periuk berisi air dan dipanaskan untuk merebus doh
- Besen berisi air paip
Cara-cara:
A. Menyediakan ulas butir nako@nangka
- Panaskan setengah periuk air dengan api sederhana.
- Uli tepung bersama air sehingga dapat digental tanpa melekat di tapak tangan.
- Bahagikan doh kepada 3 bahagian dalam bekas berlainan, dan warnakan mengikut warna pilihan.
- Rebus setiap butir doh yang telah digentel di dalam periuk berisi air panas tadi. Tunggu sehingga butir-butir doh timbul.
- Dengan menggunakan penapis besi, cedok doh yang timbul dan masukkan ke dalam bekas berisi air paip untuk menyejukkannya di samping mengelakkan setiap butir melekat antara satu sama lain.
- Lakukan sehingga kesemua bahagian doh tepung habis.
B. Menyediakan kuah
- Cairkan gula melaka di dalam periuk berisi kira-kira 3 cawan air di atas api sederhana.
- Masak gula dan daun pandan. Setelah cair, masukkan santan dan kacau.
- Masukkan kira-kira 3 cubit garam dan kacau lagi.
C. Peringkat akhir
- Toskan butir tepung yang telah disejukkan tadi dan masukkan ke dalam kuah santan.
- Kacau sehingga butir tepung timbul semula dan kuah santan mendidih.
- Tutupkan api dan kacau perlahan sehingga buih kuah santan surut semula.
- Sedia untuk dihidangkan panas-panas ataupun sejuk.
Selamat mencuba!
No comments:
Post a Comment