Resepi Side Dish: Sotong Rebus Serai
Hidangan ini sangat ringkas dan mudah disediakan dan merupakan hidangan kegemaran En. B. Saya belajar resepi ini daripada En. B sendiri. Hidangan ini menjadi lebih enak jika menggunakan sotong yang segar. Syukur, di Mukah, Sarawak yang terkenal dengan hasil tangkapan laut yang segar, tidak sukar untuk mendapatkan sotong yang segar. Memang terdapat perbezaan yang besar antara sotong segar dengan sotong dari pasaraya besar di bandar, terutamanya dalam hidangan ini kerana masakan ini benar-benar menampilkan rasa sotong. Keenakan sotong segar juga dapat dikekalkan.
Sotong Rebus |
Sotong merupakan antara makanan laut yang tinggi dengan kandungan kolesterol. Merebus sotong sebegini dapat meminimumkan kandungan kolesterol dalam hidangan masakan sotong berbanding dengan cara goreng, masak lemak, sambal dan sebagainya.
Bahan-bahan:
300gram sotong, disiang dan dibuang dakwat
3 batang serai, dititik
1 tangkai cili merah, dibelah
3-5 ulas bawang putih, diketuk
3 keping asam kandis (boleh juga menggunakan asam keping, asam gelugur, asam kelubi dan sebagainya)
Air secukupnya untuk merebus, kira-kira 3 cawan
Garam secukup rasa
Secubit gula pasir
Cara-cara:
- Panaskan air dalam periuk.
- Masukkan serai, bawang putih, cili merah dan asam kandis.
- Masukkan sotong dan diikuti dengan garam dan gula.
- Biar sehingga mendidih. Jangan terlalu lama untuk mengelakkan sotong menjadi liat.
- Tutup api, angkat dan hidangkan.
Sangat ringkas, bukan?
Selamat mencuba!
No comments:
Post a Comment