Resepi Ringkas: Udang Goreng Kilas Daun Bawang Authentic Melanau-style
Hidangan in merupakan suatu hidangan ringkas tetapi sering didapati di rumah-rumah orang Melanau di sekitar Mukah yang terkenal dengan hasil laut yang segar seperti udang, ikan, ketam dan sebagainya. Menariknya hidangan ini ialah kesegaran rasa udangnya dapat dikekalkan serta hidangan masakan rumah yang sukar didapati di restoran makanan laut sekitar Mukah, Sarawak. Anda hanya akan dapat menikmatinya dari dapur seorang ibu di rumah-rumah orang Melanau.
Resepinya sangat mudah disediakan, namun sangat menyelerakan ditambah pula dengan rasa segar udang. Cukup hanya dengan nasi panas atau dimakan bersama sagu yang merupakan salah satu makanan ruji orang Melanau terutama golongan tua.
Udang yang biasa digunakan merupakan dari spesis udang kertas atau dalam bahasa tempatan di Mukah, Sarawak, lebih dikenali sebagai udang lilin. Biasanya udang ini digunakan dalam membuatkan cucur udang. Kulitnya yang nipis memudahkannya untuk dimakan bersama kulit tanpa perlu mengupas kulit terlebih dahulu menjadikannya pilihan dalam membuat cucur udang.
Udang Goreng Kilas Daun Bawang Authentic Melanau-style |
Bahan-bahan:
1/2 kg udang kertas @ udang lilin, dicuci dan ditoskan
1-2 tangkai daun bawang, dihiris halus (boleh digantikan dengan 3 ulas bawang merah)
1 labu bawang besar, dihiris (bezakan dengan bawang besar Holland. Tidak perlu gunakan bawang besar ini jika menggunakan bawang merah)
Garam secukup rasa
1 senduk minyak masak untuk menumis
Cara-cara:
- Tumiskan bawang dan daun bawang dalam sedikit minyak masak yang telah dipanaskan. Gunakan api yang besar.
- Setelah naik bau, masukkan udang dan gaul dengan cepat dan rata.
- Taburkan garam secukup rasa.
- Goreng kira-kira 1-2 minit sahaja atau sehingga kulit udang bertukar warna jingga menandakan udang telah masak.
- Elakkan menggoreng terlalu lama kerana isi udang yang kering dan mengecut akan menghilangkan rasa segar udang.
- Angkat segera dan hidangkan.
Sangat ringkas dan mudah, bukan? Namun, kemahiran menggoreng udang pada masa yang tepat dengan ketepatan suhu kuali atau wok amatlah penting bagi memastikan udang kekal segar dan lazat.
Selamat mencuba!
No comments:
Post a Comment