Monday 24 November 2014

Resepi Sayur: Keladi Masak Belacan Authentic Melanau-style

Resepi Sayur: Keladi Masak Belacan Authentic Melanau-style


Sepertimana hidangan sayur midin rebus belacan atau midin goreng belacan, hidangan sayur keladi masak belacan sememangnya menjadi kegemaran ramai orang Melanau sendiri malah menjadi 'igauan' orang Melanau yang merantau.

Jenis keladi yang biasa digunakan yang menjadi pilihan ialah keladi cina atau panggilan tempatan Melanau sebagai bukou kina. Keladi yang segar ditentukan daripada bahagian dahan keladi yang masih segar dan tidak kecut dan kering, selain masih terasa padat dan tidak ringan terutama jika dimasukkan ke dalam air.

Hidangan ini disediakan oleh mak saya dan saya merakamkan setiap langkah menyediakannya untuk rujukan saya di masa hadapan. Sayur keladi masak belacan ini sedap dimakan bersama-sama dengan ikan tenggiri yang telah diasinkan dan digoreng ataupun bersama ikan tongkol panggang.


Sayur keladi masak belacan Melanau-style

Bahan-bahan:


2 biji keladi cina, dibuang kulit dan dipotong kecil
1-2 ulas bawang merah
1-2 tangkai cili merah (ikut suka tahap kepedasan)
1 genggam ikan bilis, dibuang perut
1/2 inci belacan
Garam secukup rasa
Gula secukup rasa
5 cawan air
Sedikit minyak masak untuk menumis

Cara-cara:


  1. Rebus celur keladi terlebih dahulu sehingga masak dan kemudian toskan (mencelur rebus keladi bertujuan hendak menghilangkan gatal keladi).
  2. Tumbuk bahan-bahan tumis iaitu bawang merah, cili merah, ikan bilis dan belacan sehingga sedikit lumat.
  3. Panaskan sedikit minyak masak di dalam kuali dan tumis bahan tumis yang telah ditumbuk sehingga naik bau.
  4. Masukkan keladi yang telah ditoskan tadi dan gaul rata sehingga bahan tumis meliputi semua keladi.
  5. Masukkan air diikuti oleh garam dan gula secukup rasa. Biarkan mereneh sebentar sehingga mendidih kerana keladi sudah sedia empuk.
  6. Tutup api dan sedia untuk dihidangkan.

Selamat mencuba!


No comments:

Post a Comment