Resepi Sihat: Ikan Merah Stim Halia Chinese-style
Resepi stim ikan dengan halia merupakan suatu hidangan yang sihat kerana rendah kolesterol, rendah lemak, tinggi lemak baik, tinggi protein malah menyelerakan. Jadi, memang tiada alasan untuk makan secara sihat tanpa mengorbankan kelazatan makanan. Resepi ini sangat ringkas dengan menggunakan bahan-bahan yang minima dan asas. Anda boleh memvariasikannya mengikut kesukaan.
Anak-anak saya juga sangat menggemari stim ikan halia ini tidak kira jenis ikan yang digunakan. Anda boleh menukar ikan merah ini kepada ikan siakap, ikan susu, kerapu, bawal putih dan ikan lain yang dirasakan sesuai untuk dikukus. Hidangan ini juga sangat sesuai untuk ibu-ibu dalam pantang selepas bersalin terutama jika menggunakan ikan yang dianggap 'tidak gatal' seperti bawal putih dan gelama.
Ikan Merah Stim Halia Chinese-style |
Bahan-bahan:
- 1 ekor ikan merah, disiang dan dikelar
- 1 labu bawang besar Holland, dihiris mengikut alur bawang
- 1 inci halia, dihiris halus
- 1 tangkai cili merah, dibelah dan dihiris
- 5 ulas bawang putih, diketuk
- 2 sudu makan cuka maka (terbaik menggunakan cuka epal, namun boleh digantikan dengan asam kandis atau jenis asam yang lain)
- Garam secukupnya
Cara-cara:
- Lumur ikan dengan garam. Letakkan di dalam pinggan untuk menghidang.
- Taburkan bahan-bahan dihiris tadi; bawang besar Hollang, bawang putih, halia dan cili merah.
- Titiskan kira-kira 2 sudu makan cuka makan.
- Sediakan periuk kukus atau wok (dengan penyangga besi) berisi air mendidih untuk mengukus.
- Letakkan pinggan berisi ikan yang telah sedia untuk distim.
- Tutupkan periuk kukus atau wok dengan penutup. Stim selama 15 minit (bagi ikan merah, bagi ikan siakap pula kira-kira 15-20 minit).
- Setelah 15 minit, angkat segera ikan stim daripada periuk kukus. Jangan dibiar di dalam periuk kukus kerana ini akan menyebabkan ikan terlebih masak dan isi ikan menjadi liat dan kering. 15-20 minit adalah tempoh yang sesuai. Untuk memastikan ikan benar-benar masak, cucuk ikan dengan garfu, Jika bewarna putih dan tidak liat, maka ikan telah masak dengan baik.
- Sedia untuk dihidangkan.
Selamt mencuba!
Lumur ikan dengan garam terlebih dahulu |
No comments:
Post a Comment