Wednesday 5 November 2014

Resepi Ringkas: Hati Ayam Goreng Kunyit

Resepi Ringkas: Hati Ayam Goreng Kunyit


Hidangan hati ayam goreng kunyit ini memang menjadi kegemaran En. B, apatah lagi jika digoreng garing, rangup di luar dan lembut di dalam. Namun, menggoreng hati ayam juga satu proses yang agak menakutkan bagi saya kerana untuk mendapatkan hasil goreng garing yang rangup, perlu menggunakan api yang agak besar namun ia menyebabkan hati ayam 'meletup-letup' ketika digoreng. Walaupun EN. B dan saya sendiri menggemarinya, saya mengehadkan hati ayam kerana menyedari keburukan pengambilan hati ayam secara berlebihan.

Hati Ayam Goreng Kunyit

Bahaya Hati Ayam


Umum mengetahui khasiat hati ayam yang kaya dengan zat besi. Doktor biasanya mengesyorkan pengambilan hati ayam bagi individu yang mengalami masalah anemia atau kurang darah merah. Namun, tidak ramai juga yang mentahui bahawa hati ayam tidak sesuai diambil oleh ibu hamil biarpun mengalami masalah kurang hemoglobin darah, apatah lagi jika pada awal kehamilan. Ini kerana hati ayam juga mengandungi vitamin A yang tinggi, Paras vitamin A yang tinggi dalam darah ibu adalah toksik dan berbahaya kepada jani yang berkembang terutama dalam trimester pertama kandungan yang boleh menyebabkan kecacatan janin. Selain daripada itu, hati juga merupakan organ utama untuk metabolisme toksin dalam darah, menjadikan pengambilan hati ayam yang banyak boleh membahayakan kandungan oleh kerana kandungan toksin yang terkumpul dalam organ hati.

Selain daripada itu, hati ayam juga sangat tinggi kandungan kolesterol. Selain daripada itu, kandungan fosforus yang tinggi juga menjadikannya tidak sesuai diambil oleh individu dengan masalah buah pinggang.

Khasiat Hati Ayam


Namun begitu, selain daripada zat besi, hati ayam juga kaya dengan vitamin larut lemak iaitu A, D, E, K dan vitamin B12, riboflavin, folate, serta mineral kuprum, selain merupakan satu sumber protein. Biarpun hati ayam kaya dengan khasiat, pengambilannya haruslah pada kadar sederhana disebabkan kandungan toksin serta kolesterol yang tinggi.

Apakah itu Kolesterol?

Bagaimana Kolesterol Tinggi boleh Meningkatkan Risiko Sakit Jantung?


Bahan-bahan:

400gm hati ayam, diptong mengikut lobar hati ayam
2 - 3 ulas bawang merah, dihiris
1 - 2 tangkai cili merah, dihiris
1 labu bawang besar, dihiris mengikut alur
1 ulas bawang putih, diketuk
1 sudu teh serbuk kunyit
1 keping asam keping (jika suka rasa sedikit masam)
Garam secukup rasa (kira-kira 1 sudu teh)
1 cawan minyak untuk menggoreng

Cara-cara:

  1. Toskan hati ayam (kandungan air berlebihan menyebabkan hati ayam menjadi kurang garing selain liat).
  2. Masukkan serbuk kunyit dan garam. Gaul dan lumur rata pada hati ayam.
  3. Panaskan minyak di dalam kuali pada api sederhana besar.
  4. Masukkan hati ayam dengan perlahan dan kacau sedikit.
  5. Sekali sekala kacau hati ayam untuk mengelakkan melekat pada kuali.
  6. Apabila hati ayam mulai garing, masukkan hirisan bawang merah, bawang putih, bawang besar, cili dan asam keping (jika suka) dan kacau. (Hati ayam mulai garing ditandai dengan 'letupan' minyak. Selesai 'letupan' bermakna kandungan air sudah kurang dan hati ayam menjadi garing. Penggunaan api yang kecil untuk mengelakkan 'letupan' minyak bagaimanapun menyebabkan hati ayam tidak garing, sebaliknya menjadi kecut dan liat).
  7. Setelah bawang besar kelihatan lembut, tutup api dan angkat hati ayam bersama ahan-bahan lain dengan penapis besi untuk toskan minyak.
  8. Sedia untuk dihidangkan.
Selamat mencuba!










Rujukan:

http://healthyeating.sfgate.com/chicken-liver-fattening-healthy-2908.html

No comments:

Post a Comment