Resepi Sayur: Stir-fry Kangkung Belacan
Hidangan dan resepi kangkung goreng belacan merupakan hidangan sayur yang popular, hampir sangat biasa kita jumpa di mana-mana, baik di kedai, restoran mahupun di rumah. Namun, saya lebih gemar memanggilnya stir-fry kangkung belacan kerana penyediaannya yang sangat cepat, sesuai dengan gaya masakan stir-fry Cina yang pantas bagi mengekalkan kesegaran sayur. Tanpa skil yang baik, kangkung yang digoreng menjadi layu, kuning malah lebam.
Stir-fry Kangkung Belacan |
Bahan-bahan:
1 ikat kangkung, kira-kira satu cekak, dipotong
1/2 mangkuk ikan bilis, dibuang perut
3 ulas bawang merah
1 tangkai cili merah
1 kiub belacan (kira-kira sebesar suku inci)
Garam secukup rasa
1 senduk minyak masak untuk menumis
Cara-cara:
- Tumbuk kasar ikan bilis, manakala tumbuk belacan sehingga lumat.
- Tambah bawang merah dan cili untuk ditumbuk bersama, Tumbuk kasar.
- Panaskan kuali pada api besar. Pastikan kuali benar-benar panas sebelum memasukkan minyak untuk menumis, Ini bagi mengelakkan daun kangkung menjadi lebam jika kuali tidak cukup panas.
- Setelah minyak panas, masukkan bahan tumis dan kacau rata.
- Apabila naik bau, masukkan kangkung yang telah dipotong dan kacau rata dengan pantas dengan api yang kekal besar.
- Masukkan garam secukup rasa kira-kira hujung sudu teh, tidak perlu terlalu banyak kerana belacan dan ikan bilis sudah sedia masin.
- Kacau kira-kira 1 minit atau sehingga daun kangkung mulai kelihatan lembik, dan segera tutup api. Elakkan menggoreng terlalu lama bagi mengelakkan kangkung menjadi kuning dan lebam.
- Angkat segera dan hidangkan.
Selamat mencuba!
No comments:
Post a Comment