Thursday 25 September 2014

Resepi One-Dish: Bubur Ayam (Chinese style Chicken Congee)

Resepi One-Dish: Bubur Ayam (Chinese style Chicken Congee)


Bubur ayam merupakan salah satu hidangan one-dish (boleh dimakan tanpa perlu hidangan lauk pauk lain) yang sesuai dijadikan sarapan pagi, minum pagi malah bila-bila masa sahaja. Bubur ayam ini juga amat seusai dihidangkan kepada mereka yang demam, selsema atau sakit serta sukar menelan makanan berat dan pejal seperti nasi. Hidangan bubur ayam amat sesuai diberikan kepada orang yang sedang sakit atau baru sembuh daripada demam kerana membekalkan kalori untuk tenaga tubuh (karbohidrat dari bubur nasi), protein untuk penyembuhan badan (daging ayam), serat daripada nasi, vitamin serta garam mineral daripada herba, rempah ratus dan garam yang digunakan, cecair untuk hidrasi tubuh, selain bubur lebih mudah untuk ditelan dan dihadamkan.

Bubur ayam ini berinspirasikan gaya masakan Cina yang ringkas dan tidak menggunakan banyak rempah ratus. Resepi bubur ayam ini boleh diubah suai mengikut kesukaan, sama ada menukarkannya kepada daging lembu atau ikan, atau juga boleh bereksperimen dengan herba dan rempah.



Hidangkan bubur dengan hirisan daun sup

Bahan-bahan:

  • 1 1/2 cawan beras dibasuh
  • 1 cawan daging ayam kisar (minced chicken)
  • 1-2 ulas bawang merah, dicincang
  • 1/4 inci halia, dihiris halus
  • Serbuk bawang putih (garlic powder)
  • Serbuk lada hitam (black pepper powder)
  • Satu kiub stok ayam
  • Garam secukup rasa
  • 1 liter air
  • Sedikit minyak untuk menumis
  • Hirisan daun sup sebagai hiasan

Cara-cara:

  1. Tumis bawang merah dan halia.
  2. Setelah naik bau, masukkan daging ayam kisar dan kacau sehingga daging ayam bertukar kepada warna putih.
  3. Masukkan garam (kira-kira 1 sudu teh), dan tabur serbuk bawang putih dan serbuk lada hitam mengikut kegemaran.
  4. Kacau rata dan biar sebentar dengan api kecil.
  5. Masukkan beras yang telah dibasuh. Kacau rata.
  6. Masukkan kira-kira 1 liter air.
  7. Masukkan stok ayam dan kacau lagi.
  8. Biarkan bubur masak pada api perlahan. 
  9. Setelah masak, bolehlah dihidangkan. Hiaskan dengan hirisan daun sup untuk bau yang segar. 

Bubur ini juga boleh dimakan bersama hirisan telur dadar, bawang goreng rangup, kicap soya cair, minyak bijan, jeruk lobak dan sebagainya mengikut kegemaran masing-masing.

Selamat mencuba!

Daun sup yang ditanam sendiri di kebun herba rumah

No comments:

Post a Comment