Wednesday 24 September 2014

Mengapa Anak-anak perlu Menconteng?

Mengapa Anak-anak perlu Menconteng?


Yaya, 3 tahun, gemar menconteng dan melukis apa-apa sahaja yang mungkin sukar untuk difahami lukisannya, tetapi bagi Yaya, setiap contengan atau lukisannya mempunyai makna tersendiri. Yaya sudah mula pandai memegang pensel dengan cara yang betul sejak berumur 2 tahun. Pengaruh kakak dan abangnya yang memberi persekitaran serta sumber yang menggalakkannya untuk meniru tingkah laku mereka, antaranya menconteng, saya dapati memberi kesan lebih awal kepada Yaya. Pada usia seawal 2 tahun, Yaya tidak menghadapi masalah untuk memegang pensel atau pen dengan betul. Perkara ini juga disedari oleh guru di taska.

Yaya menconteng atau melukis apa yang digambarkannya sebagai "ikan jerung"

Seawal usia kakak dan abang Yaya sehingga kepada Yaya dan terkini adiknya, Noh, saya gemar menggalakkan mereka menconteng atau melukis apa sahaja di buku atau kertas kosong. Ini kerana saya percaya anak-anak perlu meluahkan pemikiran dan perasaan mereka melalui contengan dan lukisan, selain daripada dapat merangsang otak serta kemahiran mereka dalam mengawal pergerakan tangan dan pensel ketika menconteng atau melukis.

Mengapa anak-anak perlu menconteng? Apakah kebaikan yang mereka dapat daripada aktiviti menconteng ini?



Kebaikan Menconteng


Menconteng merupakan satu aktiviti yang penting yang menjadi kegemaran bagi kanak-kanak, terutama yang berumur 1-3 tahun. Walau bagaimanapun, sesetengah ibu bapa jarang dapat menghargai aktiviti seni contengan anak-anak, terutama sekali apabila anak-anak menjadi dinding rumah sebagai kanvas. Ibu bapa harus sedar bahawa menconteng merupakan salah satu aktiviti yang penting bagi perkembangan meeeka sejajar dengan umur.

Melalui aktiviti menconteng, anak-anak akan dapat;

  • meningkatkan kemahiran motor halus (fine motor control) semasa memegang alat tulis seperti pen, krayon atau pensel. Kemahiran motor halus ini penting untuk kemahiran seterusnya yang melibatkan aktiviti harian lain seperti memberus gigi, dan lain-lain.
  • memperoleh rasa kebebasan dan kuasa ke atas diri sendiri. Membiarkan mereka menconteng pada kertas kosong tanpa arahan atau kongkongan dapat memberikan mereka rasa kebebasan dalam berfikir serta mencipta sesuatu yang diluahkan melalui contengan. Ini menggalakkan independant thinking yang mana anak-anak berasa tidak terkongkong dalam pemikiran dan tidak takut-takut dalam membuat keputusan dan mencipta sesuatu lahir dari pemikiran mereka.
  • mengenal huruf lebih awal. Garisan contengan yang dibuat merangsang otak mereka untuk mengenal bentuk dan seterusnya huruf.
  • meluahkan perasaan mereka. Melalui aktiviti menconteng, anak-anak dapat meluahkan perasaan mereka, sama ada melukis perkara atau objek yang disukai, atau juga cara mereka untuk memberitahu ibu bapa sesuatu. Contohnya, Yaya melukis ikan jerung untuk memberitahu saya imej ikan jerung yang dilihatnya di saluran NatGeo Wild. Selain daripada itu, pergerakan dan tenaga yang digunakan semasa menconteng dapat melepaskan tekanan yang dihadapinya.
Oleh itu, selain daripada pendedahan di taska atau tadika, ibu bapa haruslah memberi pendedahan seawal di rumah. Lagipun, saya dapati aktiviti menconteng (di atas kertas kosong) membuatkan mereka fokus dan "lupa" untuk bergaduh sesama adik-beradik.


Tips Menggalakkan Anak-anak Menconteng

  • Sediakan persekitaran yang sesuai untuk menconteng seperti di atas lantai atau meja.
  • Beri sumber kepada mereka iaitu kertas kosong, kotak atau sampul surat yang tidak digunakan lagi.,asalkan sumber tersebut dapat memberi anak-anak permukaan kosong untuk diconteng.
  • Beri alat tulis yang sesuai dengan umur dan disahkan selamat untuk kanak-kanak. Antara alat tulis yang sesuai ialah krayon, pensel warna dan pen marker.
  • Elakkan memberi arahan, mengongkong gaya contengan atau banyak bertanya makna contengan mereka. Biarkan mereka menconteng biarpun hanya "cakar ayam" yang kelihatan tidak bermakna. Ingat, proses menconteng itu lebih penting daripada hasil contengan.
  • Beri respon apabila anak-anak mahukan komen. Contohnya, apabila anak bertanya,"cantik tak?", beri pujian atau tanya soalan yang menunjukkan kita berminat terhadap lukisannya, seperti bertanyakan apa yang diconteng, warna yang digunakan dan sebagainya.
  • Galakkan juga penggunaan peralatan lain selain alat tulis untuk menconteng seperti span, kayu, lidi dan sebagainya. Meconteng pasir di pantai dengan menggunakan ranting juga merupakan salah satu cara untuk menggalakkan pemikiran kreatif anak-anak agar lebih berkembang.

Kesimpulannya, biarkan anak-anak anda menconteng dan jangan disekat aktiviti "wajib" seiring perkembangan umur mereka ini. Memberi anak-anak ruang, persekitaran, sumber dan peralatan dapat mengelakkan kejadian yang tidak diingini seperti contengan pada dinding rumah atau gincu bibir dilukis pada peti sejuk (ini berdasarkan pengalaman atas kecuaian sendiri).


Rujukan:





No comments:

Post a Comment