Monday 29 September 2014

Cerita Pengamal Suplemen dan Pemakanan Secara Sihat: Anda Golongan yang Mana Satu? - (Part 2)

Cerita Pengamal Suplemen dan Pemakanan Secara Sihat: Anda Golongan yang Mana Satu? - (Part 2)


[sambungan daripada Cerita Pengamal Suplemen dan Pemakanan Secara Sihat: Anda Golongan yang Mana Satu? - (Part 1)]

Supplement abuser


Siapakah pula golongan supplement abuser? Mereka ialah penyalahguna suplemen dengan tujuan untuk mencapai tahap "kesihatan" yang diinginkan, sama ada kepada diri sendiri ataupun orang di sekitar yang ditujukannya. Golongan ini biasanya tidak sedar atau tutup mata akan hakikat suplemen makanan adalah bertujuan untuk menampung kekurangan sebahagian nutrien dalam makanan, bukannya pengambilalihan total pemakanan nutrien harian sehingga menjadi "pemakanan ruji". Contohnya, pengambilan multivitamin berbentuk meal replacement menyebabkan mereka tidak mengamalkan pemakanan seimbang kerana berasa 'selamat' dan 'gembira' dengan hakikat keperluan telah ditampung oleh makanan tambahan tersebut. Ini merupakan amalan yang sama sekali bertentangan seorang wellness warrior yang mana wellness warrior pengamal suplemen akan mengetahui bahagian mana kemungkinan kekurangan nutrien berlaku yang memerlukan bantuan suplemen (contohnya tidak mampu mendapatkan 5-8 hidangan buah dan sayuran serta rangkaian lain antioksidan bersumberkan legum dan kekacang) dan memberi keutamaan kepada amalan pemakanan yang seimbang dan semula jadi.

Photo: www.abc.net.au

Contoh pertama, seorang ibu memberi anaknya suplemen makanan tambahan dengan harapan dapat menampung keperluan si anak, akan tetapi, ibu ini berasa 'selamat' dan mulai lepas tangan dalam mendidik anak tentang pemakanan sihat dan seimbang. Akhirnya si ibu rasa 'selamat' memberi anak makanan ringan dan fast food yang tidak berkhasiat. Amalan ini mencorakkan anak tersebut menjadi tidak peka kepada corak pemakanan yang sihat dan seimbang. Masalah timbul apabila si anak dibawa berjumpa doktor dan doktor menasihatkan agar tidak mengambil suplemen dan mendidik anak agar makan secara sihat. Anehnya, golongan ini menyalahkan suplemen yang diambil sebagai  pendorong kepada amalan tidak sihat mereka, dan bukannya menyalahkan amalan diri sendiri yang mengambil mudah pada mulanya. Walau bagaimanapun, golongan supplement abuser ini juga boleh berubah menjadi golongan wellness warrior yang mengamalkan suplemen secara betul dengan amalan pemakanan yang sihat, namun ada juga yang berubah sama ada menjadi golongan wellness warrior anti-suplemen, ataupun mencapai tahap food rage dan anti-suplemen.

Contoh kedua, seorang wanita dengan berat badan berlebihan mengambil suplemen yang membantu meningkatkan metabolisme badan dengan tujuan ingin kurus. Walau bagaimanapun, wanita ini berpendapat, dengan pengambilan suplemen tersebut telah cukup untuk membolehkan dia tidak perlu menjaga pemakanan, tidak risau akan kalori, kandungan kolesterol, tidak mengamalkan senaman dan sebagainya yang perlu bagi seorang untuk menurunkan berat. Di sebalik keinginan untuk kurus, wanita ini menaruh sepenuh-penuh kepercayaan mampu kurus tanpa senaman dan penjagaan pemakanan. Akhirnya, wanita ini mengambil makanan yan gberkalori tinggi lebih daripada apa yang suplemen mampu tampung untuk metabolisme. Akibatnya, berat badan semakin bertambah. Adalah lebih mudah untuk menyalahkan faktor lain berbanding faktor dalaman sendiri. Akhirnya, wanita ini bertukar menjadi golongan anti-suplemen. Kesedaran mulai timbul, wanita ini sedar tiada cara lain melainkan melalui ilmu pemakanan dan penjagaan kesihatan yang betul. Bermulalah pencarian ilmu pemakanan sihat secara alami dalam Mr. Google dan akhirnya berubah menjadi seorang wellness warrior.

Contoh ketiga, seorang lelaki yang food lover dan eat-for-taste mempunyai paras kolesterol darah yang tinggi dan dinasihatkan oleh doktor untuk mengawal pengambilan makanan tinggi kolesterol. Namun, lelaki ini menemui suplemen anti kolesterol berasaskan sterol dan stanol tumbuhan yang berfungsi menyerap kolesterol dalam makanan. Lega dengan fakta tersebut, lelaki ini meneruskan tabiat asal mengambil makanan tinggi kolesterol malah cukup yakin untuk berhenti mengambil ubat anti-kolesterol yang diberi oleh doktor dan meningkatkan pengambilan suplemen tersebut. Apa yang tidak disedarinya ialah, kajian saintifik mendapati pengambilan suplemen ini biarpun terbukti dapat menurunkan paras kolesterol jahat dalam darah, pengambilan melebihi dos yang ditetapkan tidak memberi apa-apa kelebihan kepada lebih banyak kolesterol dapat diserap (tiada kelebihan tambahan dengan pengambilan melebihi 3gm sehari). Akibatnya, paras kolesterol darah kekal tinggi pada pemeriksaan darah selanjutnya menyebabkan lelaki tersebut 'dimarahi' oleh doktor dan egonya terluka dek teguran tersebut. Maka, bermula episod status perkongsian viral di Facebook bahawa suplemen anti-kolesterol tersebut tidak berkesan. Kedengaran biasa, bukan?

[bersambung ke Part 3]

No comments:

Post a Comment