Wednesday 31 December 2014

Resepi One-Dish: Bihun Sup Tulang

Resepi One-Dish: Bihun Sup Tulang

Baru-baru ini saya terliur sangat nak buat dan hirup sup tulang. Mungkin gara-gara selepas demam dengan batuk dan hingus masih bersisa, selera saya lebih terbuka kepada menu yang bersup. Daripada pelan asal nak buat sup tulang sahaja, saya berfikir, mungkin boleh tambah mee kuning pula, maka jadilah mee sup tulang. Nak buat sendiri mee tu memang malas la hehehe...

Namun, selepas berpusing-pusing satu bandar Mukah, dari pasar tamu dan kedai menjual bahan basah hinggalah ke supermarket, saya gagal mendapatkan mee kuning telur. Ini kerana pencarian tersebut berlaku waktu tengah hari, dan saya bercadang membuat mee sup tulang untuk makan malam. Rata-rata tempat mengatakan bekalan mee kuning telah habis menjelang tengah hari. Sungguh tidak disangka, sukarnya mendapatkan mee kuning telur di bandar Mukah ini apabila melebihi waktu tengah hari. Saya sudah terbiasa dengan keadaan di Kuala Lumpur yang mana bekalannya boleh dikatakan 24 jam.

Akhirnya, saya tukar rancangan. Maka, terhasillah bihun @ bee hoon sup tulang.

Bee Hoon Sup Tulang

Bahan-bahan (untuk hidangan 10 orang makan):

Bahan sup:
1 paket sup tulang (berisi rempah tumis dan sup bunjut)
1 kg tulang lembu
5 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1/2 inci halia
5 biji kentang, dikupas kulit dan dipotong kiub
2 batang saderi, dihiris
3 tangkai daun bawang, dihiris halus
Air secukupnya, kira-kira 3 liter
Garam secukup rasa
Gula secukup rasa
Serbuk lada sulah secukup rasa
Asam jawa atau asam keping secukup rasa

Untuk sambal kicap;
Kicap pekat masin secukupnya
Cuka makan secukupnya (boleh gantikan dengan jus asam limau)
10 ulas bawang putih, dicincang halus
1-2 tangkai cili merah (boleh gantikan dengan cili padi)

Hiasan:
Bawang goreng
Daun sup

3 paket bihun (pilih jenis bihun untuk sup, bukan untuk goreng - biasanya saiz bihun untuk sup halus sedikit)

Cara-cara:


  1. Rebus tulang lembu bersama sup bunjut dari bungkusan sup tulang selama beberapa jam sehingga daging pada tulang empuk. Ketepikan rempah tumis yang terdapat dalam paket.
  2. Sesekali buangkan lemak tepu yang timbul pada permukaan air semasa merebus.
  3. Sementara itu, tumbuk atau kisar bawang merah, bawang putih dan halia.
  4. Dalam periuk yang lain, tumis bahan tumbuk sehingga naik bau diikuti oleh rempah tumis dari bungkusan sup tulang tadi. Tumis sehingga wangi.
  5. Masukkan air rebusan daging tadi ke dalam periuk diikuti dengan tulang lembu yang telah empuk. Tambahkan air jika perlu. 
  6. Masukkan kentang dan biarkan mendidih.
  7. Setelah mendidih, masukkan pula batang saderi yang telah dihiris tadi diikuti oleh daun bawang.
  8. Perasakan dengan garam, gula, asam jawa dan lada sulah secukup rasa. Tutup api.
  9. Rebus bihun dan toskan.
  10. Bagi sambal kicap pula, campurkan semua bahan.
  11. Untuk menghidang, letakkan bihun ke dalam mangkuk dan tuangkan sup tulang. Taburkan dengan bawang goreng, daun sup dan samabl kicap jika suka.
Selamat mencuba!









No comments:

Post a Comment