Sunday 28 December 2014

Resepi Sup Ayam: Pak Tin Ayam (Eight Treasure Herbal Chicken Soup)

Resepi Sup Ayam: Pak Tin Ayam (Eight Treasure Herbal Chicken Soup)


Sebagai seorang yang memiliki sedikit darah Cina dari sebelah ibu, sedikit sebanyak saya turut mewarisi banyak hidangan bukan sahaja pada gaya masakan sahaja, malah makanan yang berasaskan ubat herba tradisional Cina, seperti hidangan yang saya kenali sebagai Pak Tin (pak bermaksud nombor 8 dalam dialek Hokkien, jadi Pak Tin ini menggunakan 8 jenis herba).

Herba ini biasanya dipaketkan bersama dan boleh didapati di kedai-kedai ubat dan herba Cina. Hanya sebutkan Pak Tin atau Eight Treasure, tabib dengan segera memahaminya. Biasanya terdapat 2 jenis iaitu manis dan kurang manis. Saya lebih suka menggunakan yang kurang manis untuk membuat sup ayam.

Pak tin ini biasanya diambil oleh wanita untuk menyegarkan badan selepas bersalin dan dipercayai dapat menambahkan darah terutama selepas bersalin dan ketika kedatangan haid. Selain daripada itu, ramuan ini dapat mengimbangi hormon dan juga mengurangkan sakit senggugut. Bagi lelaki pula, pak tin dipercayai dapat memperbaiki pencernaan dan mengembalikan kesegaran tubuh setelah letih bekerja.

Pak Tin Ayam

Dalam keluarga saya, sup ayam pak tin ini disediakan dalam kuantiti yang banyak dan kami akan mengadakan perkumpulan keluarga untuk "parti" kecil menikmati sup pak tin ini.


Jika menurut resepi asal pak tin ayam, cukup hanya dengan ramuan herba ini direneh bersama daging ayam tanpa campuran lain selain garam sebagai perasa. Namun, saya mempelajari resepi pak tin ayam ini yang telah ditambah bahan-bahan lain seperti halia, bawang putih dan lada sulah. Daging ayam juga boleh digantikan dengan daging lembu atau tulang lembu.

Bahan-bahan:

  • 1 paket herba pak tin
  • 2 daging ayam, dipotong kecil (sebaiknya menggunakan dada ayam kampung)
  • 1/2 inci halia, dihiris
  • 5 ulas bawang putih
  • Lada sulah secukupnya
  • Garam secukup rasa
  • 5 liter air

Cara-cara:

  1. Didihkan air bersama herba pak tin.
  2. Setelah mendidih, masukkan daging ayam, bawang putih dan halia.
  3. Reneh dengan api perlahan (saya biasanya mereneh pada api kecil selama 4-5 jam, dan dipanaskan semula esok harinya dan barulah dinikmati bagi memastikan herba benar-benar meresap ke dalam daging ayam).
  4. Apabila ayam telah empuk, masukkan garam dan lada sulah secukup rasa.
  5. Sedia untuk dihidangkan.
Selamat mencuba!

(Saya sering mengusik rakan-rakan bukan Cina saya agar mencuba sup ini. Jika berjaya menikmatinya, maka mereka atau anda berjaya mengambil herba Cina hardcore hehehe...Untuk peringkat lebih hardcore, pastinya pak tin ini disediakan lebih pekat iaitu Eight Treasure Decoction).


Rujukan:

http://livegreatfoodblog.com/2012/07/19/eight-treasures-soup/


2 comments:

  1. time hujan2 macam nie memang best perkena sup panas2

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kalau pekat2, ni sup cina level hard-core hehe

      Delete