Cara-cara Mengajar Anak Memberus Gigi (Part 1)
Photo: www.thekidswindow.co.uk |
Saya pasti ramai yang bertanya dengan Mr. Google cara-cara mengajar anak memberus gigi. Tidak kurang banyak artikel ilmiah, laman web oleh doktor gigi, produk penjagaan gigi yang berkongsi kepentingan penjagaan gigi, cara-cara mengajar anak memberus gigi, dan sebagainya. Walau bagaimanapun, apabila terlalu rumit, ibu bapa biasanya mengalami rage..."ahhh susahnya"...dan kemudian langsung tidak ambil peduli. Kasihannya gigi si anak, rongak sebelum masa yang membawa kepada masalah gigi berlubang, sakit gigi, bengkak gusi, malah lebih parah, mendapat penyakit di bahagian tubuh lain akibat jangkitan daripada gigi atau gusi yang rosak dan telah dijangkiti kuman!
Sebagai ibu kepada 4 anak, saya melalui pelbagai peringkat mengajar anak pelbagai perkara asas penjagaan diri termasuk cara-cara memberus gigi.
Peringkat pertama saya gelarkan peringkat skema, memang "ikut buku" tanpa mengambil kira faktor anak itu sendiri - bersedia atau tidak untuk mengikut cara yang kita ajar.
Peringkat seterusnya, peringkat rasa "tak apa, ok la tu, anak orang lain pun gigi rosak, dah nama budak-budak". Ya, peringkat ibu bapa berasa agak lepas tangan disebabkan pertambahan komitmen seiring pertambahan anak.
Peringkat seterusnya, apabila gigi si abang atau kakak mula teruk, rongak sebelum masanya, maka bermula balik semangat penjagaan gigi dari mula kepada adik-adik yang lain. Peringkat inilah cara-cara mengajar itu diiringi dengan pengalaman mengendalikan ragam dan karenah anak-anak.
Cara-cara mengajar anak memberus gigi ini adalah berdasarkan pengalaman saya sendiri semata-mata. Part-part seterusnya yang lebih khusus atau merujuk kepada pakar akan saya paparkan dalam artikel seterusnya (untuk ibu bapa yang advanced atau masih dalam peringkat skema). Langkah-langkah ini juga sesuai sebagai pengenalan kepada anak-anak dan ibu bapa itu sendiri.
Cara-cara mengajar anak memberus gigi : For Beginner
- Mama, apa itu Berus Gigi?
Bagi pembelian pertama, anak belum lagi tahu apa fungsi berus gigi, maka sudah tentu menjadi tugas ibu bapa untuk memilih dan membeli berus gigi yang sesuai.
Photo: health.infoniac.com |
Pilih berus gigi yang;
- lembut
- mengikut cadangan umur, lihat label pada pembungkusan.
- comel, berwarna-warna, karakter watak kartun mengikut kegemaran. Contoh, anak sulung saya sukakan warna pink dan ungu, watak Barbie. Anak kedua pula, lelaki, sukakan watak Ben-10, warna hijau atau biru, jika watak Spiderman. Anak ketiga, perempuan pula sama seperti kakaknya. Maka di sini untuk membezakan berus gigi hanyalah pada warna (berdasarkan persetujuan mereka) dan juga saiz berus gigi mengikut umur.
- Ubat gigi : Fluoride vs non-fluoride
Pilih ubat gigi untuk kanak-kanak yang TIDAK MENGANDUNGI FLUORIDA atau NON-FLUORIDE TOOTHPASTE. Ini kerana anak-anak yang masih kecil dan dalam latihan untuk memberus gigi masih tidak pandai meludah keluar ubat gigi, malah menelannya. Apatah lagi jika ubat gigi itu didatangi dengan perisa buah-buahan...macam sedap saja untuk dimakan.Photo: article.wn.com |
Bukan sahaja bahaya kerana beracun jika tertelan dalam kuantiti yang banyak, fluorida yang berlebihan dalam badan juga boleh menyebabkan kesan bertentangan pula iaitu pereputan gigi (fluorisis). Langkah terbaik ialah memilih ubat gigi tanpa fluorida untuk kanak-kanak yang selamat jika tertelan. Letakkan hanya sebesar kepala anak mancis sahaja di atas berus gigi untuk digunakan oleh anak-anak.
- Monkey see, be a role model
Photo: discipline.about.com |
Fitrah anak kecil, jika kita mengajar umpama dalam syarahan di universiti, lengkap dengan senarai kebaikan, memang jarang malah boleh saya katakan tidak berkesan. Satu-satunya cara untuk timbulkan minat mereka ialah memperkenalkan kepada mereka dengan perbuatan kita sebagai ibu bapa sendiri dahulu.
Photo: www.pediatricdentist-longisland.com |
Sebelum mengajar anak memberus gigi, saya biasanya menunjukkan kepada mereka apabila saya memberus gigi. Mengajar adik-adik adalah lebih mudah, kerana mereka akan melihat kakak atau abang mereka memberus gigi. Aktiviti ini boleh dilakukan bersama ketika mandi, di samping mengeratkan lagi hubungan adik-beradik. Mereka juga cenderung menjadikannya lebih seronok untuk dilakukan.
- Gosok Jangan Tak Gosok
Tunjuk video animasi Upin & Ipin, episod Gosok Jangan Tak Gosok. Beri mereka tonton pada waktu -waktu biasa, tidak semestinya apabila waktu hendak memberus gigi. Sangat mudah dan menarik untuk difahami kanak-kanak.
[Klik video di bawah untuk menonton]
- Monkey see, monkey do
Photo: agileindia.org |
Lakukan aktiviti memberus gigi bersama-sama. Apa yang saya lakukan ialah dengan menyanyi, mengulang semula skrip "bulat-bulat-bulat-bulat" doktor gigi dalam animasi Upin & Ipin. Serta-merta anak akan memahami apa yang cuba kita lakukan, dan mereka juga akan meniru perbuatan kita.
Photo: toothblogger.com |
Jangan lupa, beruskan semula gigi mereka untuk memastikan kebersihan. Membiarkan mereka memberus sendiri gigi mereka adalah sebagai latihan. Walau bagaimanapun, bina keyakinan mereka bahawa apa yang mereka lakukan itu betul dengan memuji kebersihan gigi mereka semasa kita menggosok gigi mereka agar mereka tidak merasakan bahawa kita tidak mempercayai hasil kerja memberus gigi mereka sendiri. Contoh ayat yang saya biasa gunakan;
"Mari, mama tengok gigi adik bersih ke tak?" [Minta berus gigi mereka dan gosok semula]
"Wah, bersihnya gigi adik gosok sendiri. Mama gosok sikit sahaja, tapi dah bersih dah ni adik gosok. Pandai adik gosok gigi."
Buatkan mereka berasa bangga dengan hasil kerja mereka. Ini menjadikan mereka lebih yakin dan bersemangat untuk mengulanginya pada sesi akan datang.
- Iktiraf
Photo: http://visual.ly/how-praise-your-kids |
Sekali lagi, jangan lupa berikan PUJIAN kepada mereka. Iktiraf hasil kerja mereka biarpun tidak sempurna. Jangan lupa, ia hanya proses pembelajaran berterusan. Apa yang penting ialah menanam keyakinan dalam diri anak-anak kecil untuk melakukan sesuatu perkara.
Photo: www.vitaminhealthpath.com |
Berdasarkan pengalaman, anak pertama saya agak takut-takut melakukan perkara baru berbanding adik-adiknya. Ini kerana, hampir semua perkara, daripada penjagaan diri hingga kepada perkara lain, saya akan lakukan kepadanya dan tidak membiarkan dia melakukannya sendiri. Biarpun agak ralat, saya belajar daripada kesilapan. Never too late to mend things, sebaik sahaja sedar akan hakikat itu, saya terus mulakan dengan serta-merta - membenarkan anak-anak belajar perkara baru, lakukan kesilapan, iktiraf usaha mereka dan jangan lupa, awasi untuk keselamatan, bukan sahaja dalam urusan memberus gigi, tetapi juga dalam aspek lain dalam hidup mereka.
Selamat mencuba dan berseronok dengan anak anda!
Nota: Tiada gambar anak-anak saya memberus gigi. Anda tahu sukarnya mengelakkan kamera daripada basah apabila ada anak-anak berusia 1-7 tahun memberus gigi.
No comments:
Post a Comment