Petua Dapur: Cara Orang Dulu-dulu Simpan Ikan Segar (Merebus Ikan)
Biasanya kita mendengar orang dulu-dulu menyimpan bekalan ikan dengan cara mengasinkan, mengeringkan sama ada dengan menjemur bawah matahari, ataupun disalai mahupun diasapkan dan pelbagai lagi cara lain. Ini kerana mereka perlu menyimpan bekalan protein untuk masa-masa bekalan ikan atau protein terputus seperti musim tengkujuh ataupun ketika musim sejuk. Namun, cara-cara tersebut menghilangkan kesegaran ikan.
Saya belajar cara menyimpan ikan agar kekal 'segar' untuk masakan melalui keluarga sebelah En. B, iaitu dengan cara merebus ikan dengan garam dan asam, dan kemudian dihangatkan setiap hari bagi mengelakkannya rosak. Biarpun kini sudah mempunyai peti sejuk untuk menyimpan bahan-bahan makanan segar, sehingga kini En. B masih gemarkan ikan goreng yang menggunakan ikan yang direbus. Sekali-sekala beliau akan meminta saya menyediakan rebusan ikan semata-mata untuk kemudiannya digoreng dengan cili dan bawang merah.
Ikan yang direbus ini dapat digunakan dalam masakan seperti gulai lemak, digoreng, dibuat kuah laksa dan sebagainya. Sekurang-kurangnya, kaedah ini berguna bagi mereka yang sukar mendapatkan ikan segar setiap hari. Namun cara ini hanya mampu menyimpan ikan paling maksimum selama satu minggu. Ini kerana, untuk tempoh lebih daripada itu, ikan yang direbus akan hancur setelah dipanaskan berkali-kali.
Ikan yang telah siap direbus |
Merebus Ikan
Bahan-bahan:
Ikan tongkol, disiang dan dikerat (ikan lain yang sesuai biasanya ialah ikan kembung, ikan selayang)
Garam secukupnya
Asam kandis secukupnya (boleh digantikan dengan asam keping, asam gelugur dan sebagainya)
Cara-cara:
- Susun ikan di dalam periuk.
- Taburkan garam dan bubuh asam kandis bagi setiap lapisan (ini bagi memastikan semua bahagian ikan mendapat garam dan asam dengan sekata).
- Tambahkan sedikit air, kira-kira 1/3 tinggi lapisan ikan. Jangan letak air terlalu banyak, ini akan menyebabkan ikan lebih cepat hancur.
- Rebus pada api sederhana.
- Setelah masak, tutup api.
Ikan sudah sedia untuk digunakan dalam masakan atau hidangan lain seperti goreng, masak gulai dan sebagainya.
*Nota: Panaskan ikan rebus setiap hari, pada waktu pagi dan malam bagi mengelakkannya rosak.
Selamat mencuba!
Ikan yang telah siap direbus |
Resepi: Ikan Rebus Goreng
Bahan-bahan:
Ikan direbus dengan asam dan garam
Bawang merah, dihiris
Bawang besar, dihiris
Cili merah, dihiris
Perahan limau nipis
Cara-cara:
- Goreng ikan yang telah direbus.
- Apabila siap (tahap garing ikut kegemaran masing-masing), angkat dan toskan.
- Dalam kuali yang lain, tumis bawang dengan sedikit minyak sehingga naik bau.
- Masukkan ikan rebus yang telah digoreng, diikuti oleh hirisan cili merah.
- Gaul sehingga bawang dan cili lembik.
- Angkat dan toskan.
- Titiskan dengan perahan limau nipis atau lemon untuk rasa lebih segar.
Selamat mencuba!
Contoh hidangan ikan rebus goreng yang menggunakan ikan rebus |
No comments:
Post a Comment