Pages

Monday 10 November 2014

Resepi Side Dish: Penkek Gulung Lobak Merah Ala Korean-style

Resepi Side Dish: Penkek Gulung Lobak Merah Ala Korean-style

Rasanya sudah lebih sedekad kita dilanda hallyu atau gelombang budaya Korea. Seingat saya, drama Korea pemangkin utama, diikuti dengan K-Pop. Ingat lagi dengan Autumn in My Heart dan Winter Sonata? Kini, bukan sahaja drama dan muzik, seluruh dunia turut mengikuti budaya makanan, pakaian malah mekap dari negara Timur Asia ini.

Satu perkara yang saya terkesan dengan drama Korea selain daripada plot drama yang dramatik ialah makanan Korea. Tiba-tiba kita menjadi terliur melihat kimbap, bibimbap malah mee segera sekalipun. Beberapa tahun kebelakangan ini saya mendapati diri saya suka menyediakan hidangan dengan inspirasi Korea, antaranya pancake gaya Korea seperti jeon, pajeon, hotteok, selain kimbap (kimbap cara menarik saya dapat pastikan anak-anak mengambil sayuran tanpa sedar). Kesukaran mendapatkan bahan-bahan di Mukah, Sarawak berbanding Kuala Lumpur menyebabkan saya mengubahsuai resepi mengikut bahan yang ada, maka terhasil resepi fusion ala Korean-style hehehe... Oh, saya pun ada set sudu dan chopsticks serta mangkuk Korea hahaha (sila hadiahkan saya pot tembaga Korea =p).

Penkek lobak merah ini berinspirasikan pajeon atau penkek Korea yang menggunakan green onion, namun saya tukar kepada lobak merah selain beberapa pengubahsuaian lain. Ini juga merupakan cara yang baik untuk memberi sayur kepada anak-anak yang tidak berapa gemar mengambil sayur.

Penkek Gulung Lobak Merah Korean-style

Bahan-bahan:


3 biji telur ayam
1-2  cawan tepung gandum
1/4 sudu teh baking powder
1 cawan air
1 sudu makan sos tiram
1/2 batang lobak merah, dicincang halus
1 labu bawang besar, dicincang halus
3 sudu makan gula pasir
sedikit minyak masak
Garam secukup rasa
Lada sulah (jika suka)

Cara-cara:


  1. Bancuh tepung gandum dan baking powder bersama air sehingga sebati.
  2. Dalam mangkuk yang lain, pecahkan telur ayam dan campurkan dengan 1 sudu makan sos tiram.
  3. Pukul telur sehingga sebati dan tidak perlu sehingga kembang.
  4. Masukkan telur yang telah dipukul ke dalam bancuhan tepung dan kacau rata.
  5. Masukkan cincangan lobak merah dan kacau bancuhan penkek sehingga rata.
  6. Panaskan plat atau pan kuali untuk membakar.
  7. Letakkan 3 sudu makan gula pasir di atas pan dan tuangkan sedikit air.
  8. Selepas itu, letakkan cincangan bawang besar di atas larutan gula dan gaul rata sehingga air hampir kering.
  9. Tuangkan minyak masak secukupnya bagi mengelakkan bancuhan penkek melekat pada permukaan permukaan pan atau plat pembakar. Sebarkan bawang besar ke seluruh permukaan pan atau plat.
  10. Tuangkan bancuhan penkek ke atas pan atau plat pembakar. Pastikan lapisan adalah nipis agar masak sekata.
  11. Biarkan bancuhan penkek sehingga masak dan mudah untuk ditarik daripada permukaan pan denga sudip (tidak melekat).
  12. Setelah siap, tutup api. Gulungkan penkek sehingga habis.
  13. Potong gulungan penkek sehingga habis.
  14. Susun penkek di dalam pinggan dan taburkan sedikit garam di atasnya. Jika suka, boleh taburkan lada sulah mengikut kegemaran masing-masing.
  15. Sedia untuk dihidangkan bersama sos, mustard, minyak bijan, mayonis dan sebagainya.
Selamat mencuba!




No comments:

Post a Comment